Kiriman pada: Sun, Dec 20th, 2015

TPM Sedia Runding Mengenai Insentif Khas Anggota Penguatkuasa Imigresen

Kongsi maklumat ini
Tags

SK05_191215_TPMMiri – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia berunding dengan pihak berkaitan berhubung pemberian insentif penguatkuasaan sebanyak RM200 sebulan kepada semua anggota Jabatan Imigresen yang melakukan tugas penguatkuasaan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ini berdasarkan pencapaian hasil kutipan cukai berjumlah RM3.9 bilion bagi tempoh 1 Jan hingga 1 Dis lepas dan yakin jumlah itu akan terus meningkat menjelang hujung tahun ini.

“Sekiranya kutipan hasil terus meningkat, saya menyokong supaya dipertimbangkan bayaran insentif penguatkuasa kepada 12,685 pegawai Imigresen di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Imigresen 2015.

Ahmad Zahid berkata bayaran insentif itu melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM30.4 juta setahun dan menambah pihaknya menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM4.2 bilion tahun depan.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen telah membuat kertas cadangan berhubung pemberian insentif khas itu kerana mendakwa sehingga kini anggota dan pegawai Imigresen tidak menikmati apa-apa insentif khas semasa tugas penguatkuasaan seperti agensi penguatkuasa yang lain.

Beliau berkata Jabatan Imigresen menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam menangani isu pendatang asing dan penguatkuasaan demi menjaga keselamatan negara.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mengumumkan pembinaan kuarters depot tahanan Jabatan Imigresen di Semuja, Serian dan pembinaan Pos Kawalan Sempadan Jabatan Imigresen di Ba’Kelalan, Lawas untuk menambah baik perkhidmatan Jabatan Imigresen Negeri Sarawak.

Beliau berkata sejumlah RM60 juta diluluskan untuk projek pembinaan depot tahanan itu yang dijangka bermula pada 30 Mei 2016 manakala RM20 juta lagi diluluskan untuk pembinaan pos kawalan di Ba’Kelalan.

Ahmad Zahid berkata perkhidmatan Jabatan Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu dan Miri akan mula beroperasi tahun depan, selain tempoh operasi di Pos Kawalan Imigresen Merapok dan Sindumin dilanjutkan daripada pukul 10 malam kepada 12 tengah malam.

Beliau berkata sebagai usaha meningkatkan tugasan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Sarawak, seramai 100 orang pegawai Imigresen tambahan akan ditempatkan di negeri ini.

Pada majlis yang sama, Ahmad Zahid turut melancarkan Pelan Strategik Jabatan Imigresen dan Kod Etika Jabatan Imigresen.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.