Kiriman pada: Sun, Feb 5th, 2017

TPM Tiba Di Qatar Untuk Lawatan Kerja 4 Hari

Kongsi maklumat ini
Tags

Doha – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di ibu negara Qatar, awal pagi tadi untuk memulakan lawatan empat hari ke negara ini.

Pesawat yang beliau naiki mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di sini, kira-kira jam 3.30 pagi tadi waktu Malaysia (10.30 malam di Qatar).

Ketibaan beliau dan rombongan, disambut oleh Pengarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Dalam Negeri Qatar, Abdulaziz A Al Ansari, serta Duta Besar Malaysia ke Qatar, Datuk Ahmad Jazri Mohd Johar, bersama pegawai Kedutaan Malaysia di sini.

Antara anggota rombongan Timbalan Perdana Menteri, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin; Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohd Yazid Ramli dan Ketua Pengarah Pendaftaran Pertubuhan, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Lawatan Timbalan Perdana Menteri adalah atas jemputan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Qatar, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al Thani.

Timbalan Perdana Menteri memulakan lawatan hari ini dengan melakukan kunjungan hormat terhadap Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Beliau kemudian akan bertemu Perdana Menteri di pejabatnya di sini, diikuti jamuan makan tengah hari di situ. Pada malam, Dr Ahmad Zahid akan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Qatar di sebuah hotel di sini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.