Kiriman pada: Sun, Jul 12th, 2015

TPM Yakin Pasukan Petugas Khas Siasat Mengenai 1MDB Secara Telus Dan Adil

Kongsi maklumat ini
Tags

TAN SRI MUHYIDDIN YASSINMuar – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat segala tohmahan dan tuduhan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini, akan melakukan siasatan secara telus dan adil.

Beliau berkata semua pihak perlu yakin bahawa pembentukan pasukan petugas khas itu adalah untuk mencari kebenaran, sama ada segala tuduhan terhadap 1MDB itu benar atau sebaliknya.

“Saya menyokong penuh pasukan penyiasat yang dibentuk ini dan saya bersetuju perkara (siasatan) ini perlu diselesaikan segera untuk memulihkan kembali keadaan yang meresahkan banyak pihak.

“Siasatan ini mesti telus dan mengikut lunas undang-undang yang siasatan tidak mengira sesiapa pun,” katanya ketika berucap pada Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran dan Iftar UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Hujung Tambak, Gersik, Ledang.

Baru-baru ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik menganggotai pembentukan pasukan petugas khas itu untuk menyiasat dakwaan mengenai 1MDB.

Tan Sri Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh berkata pasukan petugas khas itu ditubuhkan bukan untuk mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap segala tuduhan yang dilemparkan.

“Sempena bulan Ramadan ini, berdoalah kepada Allah SWT agar semuanya akan kembali pulih dan biarlah pasukan penyiasat ini melakukan tugas mereka dengan sebaik mungkin,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.