Kiriman pada: Mon, Jan 11th, 2016

TPP Beri Manfaat Ekonomi Bersih Kepada Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

sdjKUALA LUMPUR – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan memberi manfaat ekonomi bersih kepada Malaysia, tetapi akan terdapat kos pelarasan kepada syarikat daripada persaingan yang meningkat dan tanggungjawab merentasi sektor.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk J. Jayasiri berkata Malaysia perlu berada dalam perjanjian perdagangan itu untuk mendapat layanan keutamaan.

“Ini terutamanya untuk empat buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Mexico, Peru dan Kanada, apabila Malaysia masih belum mempunyai akses keutamaan.

“Jika kita tidak menyertai TPP dan pesaing kita menyertainya, mereka akan mendapat layanan keutamaan dan ini menyebabkan pengeksport kita berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum mengenai TPP anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) di sini hari ini.

Dalam ucapannya pada forum itu, Jayasiri berkata mendapat akses pasaran untuk barangan dan perkhidmatan, menjadi sebab utama Malaysia ingin menyertai TPP.

“Amerika Syarikat akan memansuhkan tarif sehingga 90 peratus dengan segera, Kanada (95 peratus), Mexico dan Peru (80 peratus), manakala bagi Jepun, ia bermakna membuka pasaran kayunya kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, Malaysia dapat mengekalkan duti eksport yang sedia ada di bawah TPP.

Beliau berkata selain Malaysia, Vietnam merupakan sebuah lagi negara yang mendapat keistimewaan ini, bagaimanapun tidak pasti sama ada negara itu telah diminta untuk mengurangkan beberapa duti eksportnya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Datuk Seri Saw Choo Boon yang menjadi ahli panel forum itu, berkata pertubuhan perdagangan pada dasarnya menyokong TPP disebabkan pasaran baharu.

“Kami telah melaksanakan kajian yang menunjukkan TPP akan memberi manfaat. Kita perlu menjadi peserta global,” katanya.

Pengerusi Bank Muamalat Tan Sri Dr Munir Majid, yang turut hadir pada forum itu, menggesa cendiakawan awam menerajui proses mengenal pasti isu-isu TPP.

Munir, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean berkata peluang TPP, terutamanya dalam perkhidmatan kewangan belum benar-benar dibangkitkan.

“Mengadakan kaukus kecil untuk ini dan menjemput pakar untuk membincangkan isu-isu seperti penyelesaian pertikaian pelabur negara.

“Simulasinya, mengenal pastinya, dan mengemukakan sesuatu yang boleh dilakukan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.