Kiriman pada: Tue, Jan 19th, 2016

TPPA: Eksport PKS dijangka naik kepada 23 peratus

Kongsi maklumat ini
Tags

Seorang karyawati melintas di depan layar yang menunjukkan pergerakan harga saham di Mandiri Sekuritas, Jakarta, Selasa (2/6). Indeks Harga SahamKUALA LUMPUR: Kadar sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada jumlah eksport keseluruhan negara dijangka melonjak hingga kepada 23 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang disokong pelbagai pemacu utama termasuk pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata PKS yang ketika ini menyumbang kira-kira 17 peratus kepada eksport negara dijangka meraih manfaat hasil usaha kerajaan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan menembusi pasaran global.

“Kita lihat sumbangan PKS tempatan kepada eksport Malaysia masih kecil berbanding negara maju. Namun, kita jangkakan ia akan terus meningkat pada masa depan.

“Ia sejajar dengan usaha kerajaan mempergiatkan penerokaan pasaran antarabangsa menerusi langkah yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Kita ada 13 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan jika diluluskan Parlimen kita akan ada TPPA yang mana dapat memacu jumlah eksport PKS ke negara anggota yang mungkin menjadi pasaran baharu kepada mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Eksport 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri MITI II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan; dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud. Setakat 11 bulan tahun lalu, jumlah eksport negara mencatat pertumbuhan kecil iaitu 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

MITI menjangkakan pertumbuhan itu tidak banyak berubah untuk prestasi setahun penuh yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Mustapa berkata, syarikat tempatan terutama PKS perlu mendaftar dengan MATRADE bagi meningkatkan pengetahuan dan akses negara yang ingin diterokai.

“Saya berharap PKS dapat mempelbagaikan destinasi eksport ke negara berpotensi seperti Turki, Mexico, Kanada dan Myanmar yang memiliki pertumbuhan perniagaan yang pesat,” katanya.

Mengenai unjuran eksport negara tahun ini, beliau berkata, 2016 adalah tahun mencabar kepada Malaysia di tengah-tengah kelembapan ekonomi dunia.

“Tahun ini, eksport Malaysia dijangka berdepan tempoh mencabar. Namun, kita perlu lebih agresif meneroka pasaran baharu untuk memastikan eksport kita kekal kukuh,” katanya.

Sementara itu, Hari Eksport 2016 anjuran MATRADE yang sebelum ini dikenali Forum Pengerskport menerima lebih 1,000 penyertaan termasuk PKS. Dengan tema, ‘Go the Extra Mile’, antara acara utama MATRADE itu menggalakkan syarikat Malaysia mengeksport produk dan perkhidmatan ke peringkat antarabangsa.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.