Kiriman pada: Sun, Jul 12th, 2015

Tragedi MH17 Masih Segar Dalam Ingatan

Kongsi maklumat ini
Tags

640x-1Sepang – Walaupun tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine hampir setahun berlalu, namun kesannya masih lagi dirasai rakyat Malaysia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib juga kehilangan nenek tiri, Puan Sri Siti Amirah Prawira Kusuma, yang merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam tragedi 17 Julai 2014 itu.

Beliau berkata tiada kata-kata yang dapat melakarkan kesedihan dan kepiluan anggota keluarga dan sahabat handai mangsa tragedi itu.

“Tiada apa pun yang dapat menjadi ganti kehilangan insan yang dikasihi. Hanya kenangan dan memori indah mereka menjadi peneman dan akan sentiasa tersemat dalam sanubari kita.

“Juga tidak lupa iringan dan kiriman doa buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya,” katanya pada upacara memperingati Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Sabtu.

Najib menyifatkan tragedi MH17 sebagai insiden yang sangat sukar dilupakan.

“Saya mahu berjumpa dengan keluarga masing-masing secara individu kerana saya ingin merasai rasa sedih, rasa kesedihan berada pada tempat itu, saya merasai (perasaan) mereka. Saya akan melakukan apa sahaja diperlukan untuk membantu mencari mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

“Saya tidak boleh membenarkan keluarga (mangsa) untuk berasa sedih tanpa mayat orang yang mereka sayangi dan itulah masanya apabila saya mulakan inisiatif untuk menyiasat dan menguruskan untuk berunding dengan kumpulan pemisah ini,” katanya.

Najib turut berkongsi dengan hadirin termasuk saudara terdekat mangsa berhubung pengalaman berunding siang dan malam dengan pemisah untuk melepaskan mayat mangsa dan kotak hitam.

“Rundingan dan perbincangan saya dengan kumpulan pemisah itu amat sukar. Ia belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia untuk berunding dengan pemisah.

“Ia tidak dilakukan tanpa menghormati pihak Ukraine tetapi niat utama saya adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali mayat mangsa dan bangkai pesawat. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan semula badan dan bangkai pesawat,” kata Najib.

Perdana menteri mengambil kesempatan di majlis itu mengucapkan terima kasih kepada pasukan forensik, Kementerian Kesihatan, polis, tentera, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) atas kerja mereka yang hebat dalam usaha mendapatkan semula mayat dan bangkai pesawat dari lokasi kejadian.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, kerana membantu Malaysia membawa balik jenazah.

Najib menyifatkan majlis hari ini sangat menyentuh perasaan dan itu adalah cara Malaysia memberikan penghormatan dan penjagaan ke atas kaum keluarga mangsa.

Sambil melahirkan ucapan takziah kepada waris terdekat mangsa, Najib berharap kejadian itu tidak akan menghalang keyakinan rakyat kepada Malaysia kerana negara itu bertekad untuk bergerak ke hadapan bersama-sama.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.