Kiriman pada: Thu, Jan 28th, 2016

TREN PRASARANA DIPASANG DENGAN KEPAKARAN TEMPATAN DI BATU GAJAH

Kongsi maklumat ini
Tags

nxhkBATU GAJAH – Lima belas daripada 50 tren enam gerabak yang dibeli oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dari China akan dipasang sepenuhnya di fasiliti tempatan CSR Zhuzhou Electric Locomotive Company (CSR) di sini sebagai satu inisiatif syarikat pengendali pengangkutan awam itu untuk memanfaatkan kepakaran tempatan.

Rangka kosong dan komponen-komponen untuk tren yang pertama, yang dibeli di bawah Projek Penyambungan Jajaran LRT (LEP) Laluan Ampang dan penukaran tren-tren yang digunakan sekarang, telahpun selamat dihantar ke fasiliti rel serba moden milik CSR, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari stesen KTM Batu Gajah.

“Urusan penghantaran rangka kosong tren telah dilakukan pada Jumaat lepas (23 Januari) sebelum disusuli pula dengan komponen-komponen lain termasuk roda, bogie, kelengakapan dalaman dan sistem elektrik serta elektronik lain. Kesemua komponen bagi set tren pertama yang akan dipasang di Kilang CSR Batu Gajah ini akan diterima sepenuhnya pada 27 Januari 2016. Rangka kosong set tren yang kedua dan ketiga dijangka akan diterima di sini pada akhir Januari 2016.

“Di fasiliti ini nanti, kerja-kerja pemasangan akan dilakukan oleh jurutera-jurutera dan para pekerja tempatan dengan sokongan dan pengawasan beberapa jurutera yang didatangkan daripada China. Di samping tenaga tempatan, tren-tren ini juga akan menggunakan kombinasi perolehan komponen-komponen dari luar negara dan tempatan sebelum menjadi set tren enam gerabak yang lengkap,” kata Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd (PRAISE) dalam satu kenyataan media hari ini.

PRAISE adalah anak syarikat Prasarana yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan projek LEP termasuk urusan pembelian tren-tren baru enam-gerabak dari CSR untuk LRT Laluan Ampang.

Menurut Ir. Zohari, kandungan tempatan (local content) yang akan digunakan untuk 15 set tren enam-gerabak yang akan dipasang di fasiliti Batu Gajah itu termasuk penghantaran tren oleh syarikat tempatan, perolehan komponen-komponen tren, pengurusan projek, pemasangan tren, pemantauan qualiti, sistem dokumentasi, ujian-ujian statik dan dinamik serta sokongan semasa “Defect Liability Period” (DLP).

Di bawah projek LEP Laluan Ampang, yang menyaksikan penyambungan laluan LRT sekarang dari stesen Sri Petaling ke stesen integrasi Putra Heights, Prasarana membeli 20 set tren daripada CSR ZELC. Tiga puluh lagi dibeli bagi menggantikan tren-tren yang telah digunakan sejak perkhidmatan LRT Laluan Ampang ini diperkenalkan pada 1996.

Sebagai inisiatif meningkatkan kemahiran tempatan, Prasarana telah meletakkan syarat dalam perjanjian mereka dengan CSR Zhuhou supaya 15 daripada tren-tren ini dipasang di dalam negara untuk memanfaatkan pekerja-pekerja tempatan.

“Kerja-kerja pemasangan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melibatkan kerja-kerja kejuruteraan tahap tertinggi kerana melibatkan proses yang menyeluruh daripada rangka tren yang kosong kepada set yang dilengkapi dengan sistem elektrikal, isyarat dan semboyan yang lengkap di samping perincian mekanikal dan kejuruteraan ini.
“Bagi memberi gambaran, berat rangka kosong tren ini adalah 4.7 tan untuk setiap gerabak. Apabila siap nanti, beratnya adalah lebih daripada 23 tan. Bayangkan berapa banyak komponen and perkakasan yang perlu dipasang dan diperlengkapkan,” tambah Ir. Zohari.

Menurut beliau, kerja-kerja pemasangan tren yang pertama ini akan mengambil masa selama empat (4) bulan dengan mengambil kira proses bagi “knowledge transfer” yang akan diberikan kepada tenaga kerja tempatan, sebelum ia dihantar ke Kuala Lumpur untuk satu siri ujian berjadual dan diluluskan untuk operasi. Set tren yang kedua dan ketiga dijangka akan hanya mengambil masa selama tiga bulan sebelum hanya dua (2) bulan untuk proses pemasangan tren yang berikutnya.

“Kita memperkatakan tentang ujian yang rapi termasuklah ujian statik bagi sistem bogie, system “traction”, system brek, penghawa dingin, dan “passenger information system” yang akan dipasang di dalam tren. Sebelum tren ini dihantar ke laluan Ampang bagi ujian ketahanan lasak atau ‘endurance’ 1,500km tanpa gagal, tren ini juga akan diuji dengan ujian ketahanan “raining test” serta ujian sistem integrasi tren di kilang CSR Batu Gajah. Soal keselamatan tidak pernah dikompromi dan sentiasa diberikan keutamaan oleh kami di Prasarana,” tambah beliau.

Fasa pertama projek LEP Laluan Ampang telahpun dibuka sejak 31 Oktober lepas melibatkan empat stesen iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 dengan menggunakan lima set tren enam-gerabak yang baru. Fasa kedua dijadualkan pembukaan pada 31 Mac ini dengan melibatkan baki tujuh stesen lain sehingga ke stesen integrasi Putra Heights.

“Sehingga hari ini, Prasarana sudah menerima 24 daripada 50 tren yang dibeli daripada CSR termasuk satu yang akan dipasang di Batu Gajah. Tren-tren ini akan dihantar secara berperingkat dengan set yang terakhir dijadualkan akan diterima oleh kilang CSR Batu Gajah dari China sebelum pertengahan Oktober tahun ini,” tambah Ir. Zohari.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.