Kiriman pada: Thu, Mar 19th, 2015

Tujuh Agensi Penguat Kuasa Bincang Langkah Cegah Rasuah dan Penyeludupan Di Sempadan

Kongsi maklumat ini
Tags

sprm1Putrajaya – Satu perbincangan bagi mengenal pasti langkah-langkah pencegahan rasuah dan aktiviti penyeludupan di sempadan negara telah diadakan di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tujuh agensi lain di sini, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali yang mempengerusikan perbincangan tersebut, pertemuan kali pertama itu telah berjaya menghasilkan input yang positif kepada setiap agensi yang terlibat.

“SPRM telah mengadakan perbincangan dengan tujuh agensi penguat kuasa undang-undang di Putrajaya semalam bagi membincangkan langkah-langkah pencegahan berkaitan kegiatan melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan bahan kawalan dan larangan di sempadan negara.

“Perbincangan disertai oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Pertemuan semalam, yang merupakan kali pertama daripada beberapa siri pertemuan yang akan diadakan, menghasilkan input dan idea yang bernas bagi mencari jalan mencegah kegiatan melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan bahan kawalan dan larangan di semua sempadan negara,” ujar Mustafar.

Katanya lagi, perbincangan sulung tersebut bukan sahaja memberi tumpuan ke atas aktiviti penyeludupan bahan api seperti diesel dan petrol yang menjadi fokus Ops Licin 2 awal bulan ini, malah turut memberi tumpuan ke atas bahan kawalan yang lain dan bahan larangan.

“Perbincangan sulung ini bukan sahaja memberi tumpuan ke atas aktiviti penyeludupan bahan api seperti diesel dan petrol yang menjadi fokus Ops Licin 2 awal bulan ini, malah turut memberi tumpuan ke atas bahan kawalan yang lain dan bahan larangan.

“Perbincangan ini amat berinformasi dan bermanfaat. Lebih banyak perbincangan bersama agensi-agensi kerajaan akan diadakan selepas ini,” kata beliau selepas Perbincangan Task Force Agensi Penguatkuasaan selama dua jam itu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Tambah beliau, beberapa agensi kerajaan yang lain akan turut dipanggil dalam pertemuan susulan selepas ini.

“Ini kerana usaha pencegahan ini perlu membabitkan pendekatan holistik,” katanya.

Perbincangan tersebut diadakan susulan kejayaan SPRM membongkar sindiket yang melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran baru-baru ini.

Menurut Mustafar, pertemuan itu juga diharap dapat mencari jalan penyelesaian bersama dalam mencegah masalah integriti dan rasuah di kalangan penguat kuasa.

Langkah-langkah pencegahan yang diputuskan kelak katanya akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk tindakan perbincangan dan pelan tindakan di peringkat lebih tinggi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.