Kiriman pada: Fri, Jan 15th, 2016

Tun Abdul Razak Demokrat Hebat, Tidak Gunakan Kuasa Pengarah Operasi Mageran

Kongsi maklumat ini
Tags

a36Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai demokrat hebat yang tidak pernah menggunakan kuasa yang diberi kepadanya sebagai Pengarah Operasi Majlis Gerakan Negara (Mageran).

“Beliau tidak pernah berhasrat menggunakan kuasa yang diberi kepadanya itu – malah, beliau kelihatan bimbang mengenainya – dan sedapat mungkin, beliau berusaha untuk melepaskan kuasa itu,” kata Perdana Menteri ketika merasmikan Seminar Khas bagi Memperingati Abdul Razak, yang meninggal dunia 40 tahun lepas ketika menyandang jawatan perdana menteri kedua Malaysia di sini, hari ini.

Najib berkata kebanyakan orang yang berada dalam keadaan Allahyarham Tun Abdul Razak mungkin tidak akan melepaskan kuasa yang diberi kepada mereka.

“Sesungguhnya, tindakan beliau itu bertentangan dengan sikap kebanyakan pemimpin di dunia dan di rantau ini ketika itu,” kata beliau.

Abdul Razak memegang jawatan perdana menteri dari 1970 hingga 1976. Beliau meninggal dunia akibat leukemia pada 14 Jan 1976 semasa berusia 53 tahun.

Najib, anak sulung Allahyarham Tun Abdul Razak, berkata menjelang 1971 selepas berakhirnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dan negara kembali aman dan tenteram, pemimpin itu dengan rela hati mengembalikan pemerintahan berParlimen di negara ini.

“Itu merupakan peralihan yang cukup pantas. Ia menyelamatkan Malaysia dan ia menyelamatkan demokrasi Malaysia daripada mengalami nasib seperti yang menimpa banyak negara membangun lain,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu menyebabkan Allahyarham Tun Abdul Razak dikenang sebagai seorang daripada pemimpin Malaysia yang paling hebat.

“Sebenarnya, pencapaian beliau adalah lebih jauh daripada itu dan telah membawa perubahan ke arah yang lebih baik, yang tidak terhitung banyaknya kepada negara kita dan rantau ini,” kata beliau.

Najib berkata legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak sentiasa terpahat dalam ingatannya sepanjang beliau bergiat dalam politik, “daripada waktu saya menjadi seorang Anggota Parlimen muda, sebagai Menteri Besar Pahang, sebagai menteri dan kemudian sebagai perdana menteri.”

“Ia memberi inspirasi kepada saya dan sebagai pemimpin negara ini, saya berusaha meneruskan tugas beliau,” katanya.

Najib berkata Allahyarham Tun Abdul Razak telah meletakkan asasnya, dan “adalah menjadi tugas kita dan generasi akan datang untuk terus membinanya dengan cara yang boleh membanggakan beliau.”

Beliau berkata Model Ekonomi Baru (NEM) meneruskan dan memperluas prinsip-prinsip berasaskan merit yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Beliau berkata tindakan afirmatif DEB, yang bertujuan memastikan Bumiputera tidak tercicir, memerlukan kerajaan berusaha memasukkannya ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), “dan ia diterima, yang merupakan suatu pencapaian penting.”

“Kita menyertai perjanjian ini (TPPA) berdasarkan syarat kita dan dengan dasar tindakan afirmatif yang termaktub dalam satu perjanjian antarabangsa,” kata beliau.

Mengenai dasar 1Malaysia, beliau berkata ia digubal dengan berpandukan prinsip Rukun Negara, (manakala) hubungan dengan China yang dijalinkan Allahyarham Tun Abdul Razak kini bekembang pesat hinggakan negara itu kini menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia.

Najib berkata ayahanda beliau juga adalah seorang daripada pengasas ASEAN, dan tahun lepas, ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, beliau menikmati keistimewaan untuk menandatangani dokumen yang mengubah pertubuhan 10 negara itu menjadi sebuah komuniti.

Dalam ucapannya selama 30 minit itu, Najib mengalirkan air mata kerana katanya ia menyentuh tentang komitmen ayahandanya kepada negara ini.

“Beliau menggadai nyawa untuk negara ini. Hari ini, 40 tahun selepas pemergiannya, saya berdiri di hadapan anda untuk mengatakan bahawa saya bangga menjadi puteranya dan setaip hari, saya berusaha untuk menepati warisan itu.
“Beliau menjadi contoh bagi saya dan sebagai inspirasi bagi semua rakyat Malaysia,” kata Najib sambil mengesat air mata.

Najib berkata tempoh 40 tahun pemerian ayahandanya itu juga menandai empat dekad beliau bergiat dalam politik.

“Sebulan selepas pemergian beliau, sememangnya kerana pemergian beliau itulah, saya bertanding di Pekan, kawasan yang pernah beliau wakili.

“Pencapaian cemerlang Tun Razak adalah antara sebab amat sukar bagi saya untuk membuat keputusan itu. Saya baru berusia 22 tahun dan baru sahaja pulang dari universiti di England,” katanya.

Pada majlis itu juga, Najib melancarkan buku mengenai ayahandanya bertajuk My Recollections of Tun Abdul Razak tulisan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, canselor universiti UNIRAZAK.

Turut hadir bonda Najib, Tun Rahah Noah dan adik-adik beliau Datuk Mohamed Nizam, Datuk Ahmad Johari, Datuk Seri Mohamad Nazir dan Datuk Nazim.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.