Kiriman pada: Sun, Jan 22nd, 2017

Tun Mahathir Masih Di Takok lama

Kongsi maklumat ini
Tags

Tun Dr Mahathir Mohamad Masih Lagi Terbenam Dalam Pemikiran Industri Pembuatan Kos Rendah Dan Pekerjaan Berpendapatan Rendah Untuk Rakyat Malaysia.

Tun Mahathir masih lagi tenggelam dalam masa lampau dan tidak dapat menerima hakikat ekonomi dan keperluan untuk Malaysia terus maju kini adalah berbeza.

Pelaburan Terus Asing (FDI) bukan sahaja mengenai pelaburan dalam industri pembuatan. Untuk Malaysia melangkah ke fasa kemajuan ekonomi seterusnya sebagai negara berpendapatan tinggi, kita perlu memajukan sektor perkhidmatan.

Di kebanyakan negara maju, industri perkhidmatan menyumbang sehingga 80 peratus kepada sektor pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara terbabit.

Melalui usaha untuk keluar dari perangkap pendapatan menengah dan menyediakan pekerjaan pendapatan tinggi terutama bagi pekerjaan berasaskan pengetahuan untuk rakyat Malaysia, kerajaan telah menggandakan usaha untuk memajukan sektor perkhidmatan dan mengimbangi ekonomi negara. Usaha ini telah bermula sejak 2009.

Projek Forest City yang diserang Tun Mahathir berkali-kali menggunakan sentimen perkauman adalah contoh kepada FDI bagi sektor perkhidmatan.

Industri pembuatan kos rendah yang bersaing bagi menyediakan pekerjaan kos rendah telah memainkan peranannya ketika Malaysia beranjak dari ekonomi berasaskan pertanian kepada pembuatan.

Sebagaimana ditulis oleh Tun Mahathir melalui blog beliau mengatakan pelabur industri pembuatan dari luar akan tertarik dengan ‘rakyat Malaysia yang berkos rendah’, pengecualian cukai dan tanah percuma.

Dalam keadaan ekonomi semasa di mana penggunaan tenaga penuh diperlukan, Malaysia terpaksa bergantung kepada pekerja warga asing bagi mengisi pekerjaan sektor pembuatan. Agak menghairankan, tiada pula rungutan daripada Tun Mahathir tentang kiriman wang pekerja warga asing yang memperlihat pengaliran keluar wang dari Malaysia yang dianggarkan berjumlah RM20 bilion setahun.

Pengaliran keluar modal telah wujud sejak Malaysia membuka ekonominya kepada dunia berdekad dahulu. Syarikat multinasional yang membuka operasi mereka di Malaysia telah menghantar keluar keuntungan mereka dari pusat operasi di Malaysia ke ibupejabat mereka di luar negara sejak 1980an.

Selain pengaliran keluar wang melibatkan pekerja warga asing, terdapat juga pengaliran keluar perolehan daripada pelaburan sebanyak RM20 bilion setiap tahun sejak 1999. Ini bermakna syarikat milik asing di Malaysia telah menyalur keluar keuntungan dari pusat operasi mereka di Malaysia sejak itu.

Ini turut bermakna Malaysia adalah sebuah negara di mana pelabur dari luar membuka pusat operasi mereka, mewujudkan pekerjaan dan meraih keuntungan tanpa sebarang masalah. Keadaan ini sudah berlaku sejak pentadbiran Tun Mahathir lagi.

Tun Mahathir perlu memahami Malaysia telah keluar dari kepompong model ekonomi itu dan kita tidak lagi boleh bersaing berasaskan kepada sektor pembuatan kos rendah kerana ini bermakna kita akan berterusan merencatkan laras gaji rakyat Malaysia dan pendapatan mereka, sesuatu yang menjadi rungutan sebelum 2009.

Adalah tidak boleh diterima akal untuk terus membuat sesuatu yang sama dan berharapkan hasil yang lebih baik darinya.

Disebalik fokus kerajaan untuk beralih dari pekerjaan pendapatan rendah dan industri pembuatan kepada segmen lebih tinggi, industri berasaskan perkhidmatan (sebagaimana negara maju); sektor pembuatan tetap menerima aliran kemasukan FDI yang tinggi.

Malaysia tetap meletakkan keutamaan kepada sektor pembuatan namun kerajaan lebih terperinci dalam membenarkan FDI bagi sektor pembuatan diwujudkan di negara ini. Ia lebih cenderung kepada sektor pembuatan yang memiliki nilai tambah dengan penggunaan teknologi tinggi dan berintegrasi yang turut mengambil peluang daripada infrastruktur yang ekstensif serta kelebihan yang ditawarkan Malaysia.

Pada 2015, daripada jumlah RM43.4 bilion FDI, hampir 40 peratus atau RM17.1 bilion FDI adalah bagi sektor pembuatan. Itu memberi kesimpulan Malaysia masih lagi menjadi tarikan kepada FDI untuk terus melabur dalam sektor pembuatan di sini.

Pelaburan bagi sektor pembuatan sejak 2009 masih berganda daripada yang diperolehi pada tahun 90an ketika Tun Mahathir masih berkuasa.

Bagaimanapun, pelaburan bagi sektor perkhidmatan sejak 2009 telah melonjak daripada RM30 bilion kepada RM150 bilion pada 2014 dan RM115 bilion pada 2015.

Adalah tidak benar bahawa Johor hanya menarik pelaburan FDI melalui jualan tanah kepada warga asing. Sejak 2012, Johor telah mengatasi Selangor dan Pulau Pinang sebagai negeri teratas menarik pelaburan bagi sektor pembuatan.

Ini turut menyaksikan pertumbuhan yang ketara dalam pembangunan ekonomi Johor ke tahap di mana pendapatan median isirumah dan pendapatan purata media di Johor telah mengatasi Pulau Pinang bagi tempoh yang sama.

Walaupun hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, terdapat undang-undang dan peraturan yang secukupnya di peringkat negeri dan kerajaan persekutuan yang akan bertindak bagi memeriksa dan mengimbangi pelaburan asing.

Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan tidak akan membenarkan hak rakyat Malaysia, terutama penduduk Bumiputera dicerobohi. Ini adalah janji yang akan tetap dipegang kukuh. Dan kita juga tidak akan membenarkan ahli politik menggunakan sentimen perkauman sebagai pertikaian untuk mensabotaj ekonomi negara ini dan meletakkan Johor serta Malaysia ke arah status negara pendapatan tinggi.

Kita boleh terus terperangkap dalam kenangan sektor pembuatan yang menyediakan pekerjaan berpendapatan rendah atau kita boleh bergerak ke hadapan untuk maju sebagai sebuah negara. Ia adalah pilihan kesemua rakyat Malaysia dan bukannya ditentukan oleh pilihan sesetengah individu seperti Tun Mahathir.

Oleh – Datuk Abdul Rahman Dahlan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.