Kiriman pada: Wed, Jan 13th, 2016

Tun Razak, Pemimpin Berjiwa Rakyat

Kongsi maklumat ini
Tags

2razakfamiliKuala Lumpur – Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia, suka menanam sayur-sayuran, malah turut menternak ayam, sebagai cara untuk beliau bersantai.

“Beliau cukup gemar bermain golf tetapi pada masa sama suka bercucuk tanam dan apa yang ditanamnya sentiasa menjadi,” kata seorang kurator Memorial Tun Razak, yang dulunya dikenali sebagai Sri Taman, kediaman rasmi Perdana Menteri.

Kediaman itu dikekalkan seperti ketika Allahyarham tinggal di sana bersama keluarganya. Malah kenderaan golf yang pernah digunakannya masih berkeadaan baik, begitu juga bilik bacaannya.

Rumah dua tingkat dengan reka bentuk ala-California itu mempunyai halaman dalam ala Jepun. Namun semua itu bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

“Allahyarham tidak mahukan kolam renang dibina di rumah itu walaupun didesak lima anaknya,” kata kurator itu, Mahani Mohammad.

“Ia terlalu mahal dan Tun bimbang apa pula kata rakyat… rakyat sentiasa menjadi keutamaan beliau,” kata Mahani.

“Jika anda meninjau rumah ini, pasti anda akan sedar betapa sederhananya Tun. Beliau sayangkan anak tetapi tidak mahu memanjakan mereka,” katanya.

Najib, Johari, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir, masing-masing mempunyai bilik dengan katil, almari pakaian dan meja belajar. Namun bilik mereka tidak mempunyai bilik air.

Mahani berkata bilik tidur utama juga menunjukkan Allahyarham Tun Razak yang menjadi Perdana Menteri dari 1970 hingga 1976, adalah suami yang bertimbang rasa.

Terdapat pintu tepi yang digunakannya jika beliau pulang lewat dari pejabat atau majlis rasmi supaya tidak mengganggu isterinya, Tun Rahah Mohammad Noah.

Sri Taman, yang terletak di kawasan Tasik Perdana di sini mempunyai keluasan 1,200 meter persegi.

Dewan pamerannya menempatkan 1,650 barangan terdiri daripada pelbagai kategori termasuk biografi, barangan milik peribadi, politik dan pendidikan.

Barangan paling bernilai pastinya Buku Merah yang tertera maklumat terperinci berkaitan dasar pembangunan negara yang cukup sinonim dengan Allahyarham.

Atas kejayaannya membangunkan negara ini, Allahyarham Tun Razak digelar Bapa Pembangunan.

Bagi Allahyarham, maksud pembangunan yang paling penting adalah perubahan — perubahan sikap dan pemikiran.

“Kerajaan boleh membina jalan, menyediakan perkhidmatan kesihatan, bekalan air serta kemudahan harian yang lain menerusi sumber kita sendiri.

“Tapi perlu diingat kadar pembangunan sesebuah negara terletak kepada peningkatan rakyatnya sendiri,” kata Allahyarham.

“Kemajuan dan nasib negara terletak di tangan rakyat dan saya meminta setiap seorang daripada anda untuk memberikan yang terbaik ke arah kemajuan Malaya.

“Pada kesudahannya, inilah negara ini, tanah air kita.”

Itulah ucapan Allahyarham pada Mei 1960 ketika beliau belum menjadi Perdana Menteri manakala Malaysia pula belum lagi ditubuhkan.

Keyakinan tinggi yang dipegang itu kekal bersamanya sehingga ke akhir hayatnya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.