Kiriman pada: Thu, Jan 19th, 2017

Ukraine Bawa Rusia Ke IJC Kerana Keganasan Termasuk Insiden MH17

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Tragedi MH17 yang ditembak jatuh dijadikan sebahagian prosiding yang diambil oleh Ukraine di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Netherlands, bagi mempertanggungjawabkan Rusia terhadap tindakan keganasan dan diskriminasi dalam pencerobohannya ke atas Ukraine.

Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo dalam kenyataan berkata dalam kes yang difailkan pada 16 Januari itu, Ukraine mendakwa Rusia mencabuli Konvensyen Antarabangsa untuk Menyekat Pembiayaan Keganasan dengan membekalkan senjata dan bantuan berbentuk lain kepada kumpulan-kumpulan bersenjata haram yang beroperasi di wilayah Ukraine.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terhempas di timur Ukraine pada Julai 2014, membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal.

Kes itu difailkan di bawah Konvensyen Antarabangsa bagi Menyekat Pembiayaan Keganasan dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum yang ditandatangani oleh kedua-dua negara berkenaan.

Tindakan keganasan lain termasuk pembedilan kawasan kediaman di Mariupol dan Kramatorsk, kemusnahan sebuah bas awam berhampiran Volnovakha dan pengeboman sebuah perhimpunan aman di Kharkiv, kata kenyataan itu.

Selain itu, Ukraine juga mendakwa Rusia mencabul Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum dengan terlibat dalam kempen diskriminasi terhadap komuniti bukan Rusia yang tinggal di Semenanjung Crimea, wilayah yang diduduki Rusia, khususnya komuniti etnik Ukraine dan Muslim Tatar.

Ia mendakwa bermula dengan ‘referendum’ haram yang dijalankan secara ugutan, pihak berkuasa Rusia yang menduduki wilayah itu menguatkuasakan dasar pemadaman budaya terhadap komuniti terbabit. Diskriminasi bercorak sedemikian telah dikecam oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata kenyataan itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.