Kiriman pada: Mon, Feb 22nd, 2016

UMNO ke Sabah atas kehendak rakyat

Kongsi maklumat ini
Tags

NSTPKOTA KINBALU: Kehadiran UMNO ke Sabah 25 tahun lalu, bukan untuk merampas hak rakyat atau menjajah negeri ini, sebaliknya atas kehendak rakyat. Justeru, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata adalah penting rakyat negeri ini mengetahui sejarah kehadiran UMNO ke Sabah. “Kehadiran UMNO ke Sabah adalah atas kehendak kita. Parti itu juga membawa perpaduan kepada rakyat pelbagai kaum di negeri ini, memastikan Sabah keluar daripada ketidakstabilan politik ketika itu, sekali gus membawa pembangunan berterusan,” katanya. Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata demikian sempena majlis sambutan ulang tahun Jubli Perak UMNO Sabah, di Bangunan UMNO negeri, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin dan kepemimpinan parti itu di Sabah. Musa berkata, sejarah penting dalam politik sebagai panduan untuk berada di landasan yang betul. “Dalam konteks UMNO Sabah, kita perlu tahu di mana dan bagaimana kita bermula. Politik kita pada masa lalu lebih fokus kepada kaum masing-masing, sekali gus berlaku perpecahan serta politik tidak stabil. “Keadaan itu menyebabkan kita sukar merancang pembangunan pada masa panjang, sekali gus jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan berbanding negeri lain. “Atas faktor itu juga UMNO sebagai parti harapan baharu untuk menyatukan rakyat Sabah, menstabilkan politik di negeri ini dan membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat serta negeri ini,” katanya. Musa berkata, UMNO Sabah menjadi elemen penting dalam parti itu walaupun baharu berusia 25 tahun, sekali gus sebagai adik bongsu. Katanya, UMNO Sabah mempunyai 25 cawangan dengan 5,676 cawangan dan 546,879 ahli seluruh negeri. “UMNO Sabah adalah komponen terbesar dalam UMNO di negara ini, sekali gus kehadiran kita adalah signifikan dalam pembentukan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan,” katanya. Katanya, UMNO Sabah turut merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana sentiasa mendengar apa juga keperluan rakyat di negeri ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.