Kiriman pada: Mon, Aug 3rd, 2015

UMNO kekal utuh bersatu hadapi pelbagai cabaran

Kongsi maklumat ini
Tags

AHMAD ZAHID HAMIDIMungkinkah pengguguran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam rombakan Kabinet, baru-baru ini, akan menyebabkan UMNO berpecah lagi? Ikuti penjelasan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam siri terakhir temu bual dengan BH. S: Apakah UMNO akan berdepan dengan krisis selepas pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM)? Dr Ahmad Zahid: Saya tidak fikir UMNO harus berpecah. Kita kena akui bahawa kita bukan hanya ahli UMNO tetapi orang UMNO juga. Dalam Islam, apabila sesuatu itu diputuskan, maka kita perlu akur walaupun dalam hati tidak setuju. Pada zaman Khalifah Saidina Umar Al-Khattab, ada baiah dibuat selepas kewafatan Saidina Abu Bakar. Dalam minda Umar cukup jelas, seramai mana yang menyokong beliau, seramai itulah yang tidak menyokongnya. Kita kena objektif bahawa tidak boleh memaksa orang suka diri kita, tetapi saya yakin kita kena berusaha untuk memenuhi cita rasa semua orang walaupun mustahil untuk memenuhi keperluan dan kehendak semuanya.

S: Mengikut tradisi UMNO dan BN, biasanya Timbalan Presiden UMNO adalah TPM tetapi tiba-tiba Datuk Seri berada di posisi ini. Bagaimana Datuk Seri hendak menjelaskan kepada rakyat dan ahli UMNO situasi ini dan bolehkah mereka menerimanya? J: Tun Musa Hitam pernah berada dalam situasi sebagai Naib Presiden tetapi memegang jawatan TPM. Tun Ghafar Baba juga begitu… ini bukan sesuatu yang baharu. Saya bukan berada dalam kedudukan yang berbeza dengan situasi yang lalu. Ini adalah satu proses biasa dan parti mesti dinamik dalam memberikan kesinambungan dan peralihan kepemimpinan dan ini bukan suatu yang ganjil atau tidak pernah berlaku sebelum ini. S: Bagi yang tidak setuju dengan situasi ini, apakah pesanan Datuk Seri? J: Saya menghormati ketidaksetujuan itu, namun saya tidak boleh memaksa mereka supaya bersetuju. Namun, kita mesti bersatu untuk bersetuju dan bersatu untuk tidak bersetuju kerana, hakikatnya bahawa satu-satu tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang itu telah ditentukan Allah SWT. Kita harus menerimanya bahawa ilmu Allah itu lebih tinggi daripada manusia dan ini hakikat yang perlu diterima semua orang dan agama. S: Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan tetapi masih kekal dalam pimpinan UMNO. Tidakkah ini merumitkan keadaan? J: UMNO pernah hadapi kemelut. Sebagai sebuah parti yang dinamik, semua kemelut itu harus diatasi dengan kebijaksanaan dan penuh ketatasusilaan. Pada hemat saya, bukan sekadar kepemimpinan pada peringkat nasional, negeri, bahagian saja yang perlu diberi penjelasan mengenai keperluan dan integrasi dalam parti ini tetapi juga pada peringkat akar umbi. Malah orang di luar UMNO sekali pun, perlu diberikan ruang supaya kita dapat memenangi hati dan pemikiran rakyat. Secara hakikatnya, tiada parti politik yang tidak pernah ada masalah. Parti pembangkang juga tidak pernah sunyi daripada pemasalahan dan kemelut ini. S: Cukupkah masa dua tahun sebelum pemilihan parti untuk memulih dan mengembalikan keyakinan ahli parti dan orang luar parti kepada UMNO? J: Jika mahu memulihkan parti, tidak perlu tempoh dua tahun. Saya fikir usaha ini harus dilakukan dengan segera. Kita kena segera bukan hanya melalui komunikasi bersemuka tetapi banyak kaedah dan pendekatan lain yang dapat terima pada masa ini. Harus diterima hakikat kami di 191 bahagian UMNO berada dalam satu kumpulan media sosial Telegram, yang berkomunikasi setiap masa. Kami meraikan perbezaan pendapat tetapi tidak pernah berbeza dalam hala tuju parti. Pengukuhan itu sudah ada sebenarnya. Malah, tinjauan dalam Telegram yang dijalankan sehari sebelum rombakan Kabinet, ada 167 Ketua Bahagian setuju dengan perkara ini manakala selebihnya mungkin mereka tidak mahir atau biasa serta berada dalam sistem (Telegram) ini.

S: Apakah tindakan segera yang UMNO laksanakan untuk menyatukan parti? J: UMNO tidak pernah berpecah, saya sudah sebut mengenai tinjauan tadi. Apa yang wujud adalah perbezaan pendapatan dan persepsi. Persepsi perlu diurus dan kami sudah ada strategi tetapi tidak perlu diumumkan perkara itu. Jika diumumkan, maka ia tidak dinamakan strategi lagi. S: Sepanjang beberapa bulan ini, rakyat dan ahli UMNO dimomokkan dengan kelemahan UMNO itu sendiri, malah Tan Sri Muhyiddin turut menyatakan Barisan Nasional (BN) akan kalah jika pilihan raya diadakan sekarang. Apa komen Datuk Seri? J: Kita tidak boleh mendahului hukum Allah. Kita harus berusaha dulu baru bertawakal kepada Allah. Allah meminta kita berusaha baru tawakal. Bagaimana kita mahu menyatakan kalah jika kita belum berusaha terlebih dulu. Saya menghormati pendapat dan pendirian mana-mana individu tetapi kita tidak harus bersikap pesimistik dalam apa juga keadaan. Kita kena berfikir positif supaya kita berada dalam garisan yang betul. S: Adakah bermakna ahli UMNO perlu istiqamah dan hanya ikut keputusan yang sudah dibuat? J: Memang benar begitu. Kita kena istiqamah, boleh berbeza pendapat dan perbezaan ini perlu diraikan tetapi apabila ada keputusan kita kena dengar dan taat. S: Adakah Datuk Seri akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan akan datang? J: Perkara itu sesuatu yang terlalu jauh, kita kena menghormati pemegang jawatan yang ada sekarang. Itu (bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO) bukan saya harus tentukan kerana ia ditentukan perwakilan dan kepemimpinan pada peringkat bahagian dan akar umbi. Perkara ini bukan hak seseorang untuk duduk sesuatu jawatan, kerana hak itu adalah hak mereka (perwakilan). Terpulang kepada ahli kerana itu hak mereka yang menentukan. Wallahualam. ‘Hishammuddin, Shafie terus beri sokongan padu’ Datuk Seri Hishammuddin Hussein adalah sahabat karib saya. Paling kurang, sekali sebulan kami akan bertemu membincangkan pelbagai isu nasional, kerajaan dan politik. Beliau banyak memberikan sumbang saran kepada saya. Beliau adalah seorang realistik yang dapat membaca gerak hati mana-mana tokoh politik. Biarpun kami Naib Presiden yang dipilih perwakilan UMNO, hakikatnya kerjasama dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih (juga) terus terjalin. Kerananya, kami bertiga dilahirkan dari kilang politik UMNO oleh Datuk Seri Najib Razak. Tentu yang penting, bukan kedudukan seseorang pada kacamata mana-mana pihak tetapi kerana kedudukan dalam sebuah institusi yang ditentukan. Kami bertiga menerima hakikat bahawa sesiapa saja yang diberikan peluang, kebersamaan itu harus ada pada kami bertiga. Saya ada menghubungi Hishammuddin dan meminta beliau bersama-sama saya. Beliau seorang pemimpin yang baik dan memberikan sokongan kepada apa yang sudah diputuskan Datuk Seri Najib. Pada masa sama, saya amat yakin Mohd Shafie akan tetap bersama kita. Seperti yang saya jelaskan, kami bertiga adalah dari kilang UMNO dan tentunya produknya adalah sama. Walaupun Shafie tiada dalam Kabinet, beliau masih lagi seorang Naib Presiden UMNO. Saya yakin beliau akan terus memberikan sumbangan memperkukuhkan parti.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.