Kiriman pada: Tue, Feb 14th, 2017

UMNO Selangor Tolak Peletakan Jawatan Jamal

Kongsi maklumat ini
Tags

Shah Alam – UMNO Selangor sebulat suara menolak peletakan jawatan Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, kata Pengerusi Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Perhubungan UMNO negeri, petang ini, selepas menilai sumbangan Jamal terhadap parti, terutamanya ketika membantu Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, pada tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kuasa untuk menentukan kedudukan Jamal terletak kepada Presiden, Datuk Seri Najib Razak, dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“Mesyuarat hari ini menolak surat peletakan jawatan Jamal selepas ambil kira semua perkara.

Antaranya Jamal antara orang penting menggerakkan jentera BN sehingga mencapai kemenangan memberangsangkan pada PRK Sungai Besar.

“Malah, Jamal antara individu yang bersungguh-sungguh meminta kerajaan berusaha membebaskan nelayan di Sekinchan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia.

“Jadi, kita berharap MT UMNO akan mempertimbangkan semua perkara ini,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Selangor di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia (GNGMM), ditahan polis bersama beberapa yang lain bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan premis perjudian di Selangor, pada akhir tahun lalu.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan membabitkan dakwaan samun di sebuah pusat hiburan di Taman Kosas.

Jamal mengetuai serbuan itu kerana mendakwa ada 7,000 pusat judi dan rumah urut tanpa lesen beroperasi atas nama pusat hiburan keluarga di negeri ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.