Kiriman pada: Thu, Jan 7th, 2016

Universiti Perlu Wujud Pekerjaan Sementara Bantu Pelajar Tampung Kos Sara Hidup

Kongsi maklumat ini
Tags

Pekerjaan sementara di kampus perlu diwujudkan pihak universiti bagi membantu pelajar kurang berkemampuan memperoleh wang tambahan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohamed Aslam Haneef berkata antara peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan dalam kampus adalah seperti di bahagian pentadbiran, koperasi dan pengurusan perpustakaan.

“Sebenarnya di universiti ada banyak pekerjaan sambilan dan tidak salah sekiranya peluang itu diberikan kepada mahasiswa yang memerlukan wang tambahan untuk menampung perbelanjaan mereka.

“Universiti boleh membuka tawaran pekerjaan itu mengikut kesesuaian mahasiswa dengan membayar mereka mengikut jam bekerja sekali gus mengurangkan pengambilan pekerja dari luar,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar mengenai nasib pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terpaksa ‘mengikat perut’ dan mencatu makanan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pekerjaan yang ditawarkan itu mestilah bersesuaian dengan tugas serta waktu kuliah mahasiswa tanpa mengabaikan peranan mereka sebagai pelajar.

Sementara itu, Mohamed Aslam berkata dalam usaha menjimatkan kos pembelian buku rujukan, pentadbiran universiti perlu mengambil peranan membeli buku terpakai daripada bekas pelajar untuk dijual semula kepada mahasiswa baharu dengan harga berpatutan.

Kaedah itu boleh mengurangkan kos pembelian buku baharu yang mahal sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa membelanjakan wang mereka bagi urusan lain seperti tugasan luar kampus yang memerlukan perbelanjaan yang lebih.

“Kaedah ini sudah ada tapi perlu diperluaskan lagi kerana difahamkan kebanyakan buku rujukan yang digunakan mahasiswa diterbitkan di luar negara yang nilainya lebih tinggi,” katanya.

Mohamed Aslam turut mencadangkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneliti kembali jumlah pembiayaan pendidikan kepada mahasiswa bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan semasa.

Jelasnya cadangan itu bertepatan dengan kenaikan pelbagai kos perbelanjaan dalam melaksanakan tuntutan sebagai pelajar seperti bahan pencetakan, keperluan menyewa rumah, bayar bil elektrik serta tugasan luar kampus.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.