Kiriman pada: Sun, Jan 29th, 2017

Usaha Kesan Bot Bawa Pelancong Masih Dilakukan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Kinabalu – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjelaskan, usaha mengesan katamaran membawa 31 orang termasuk 28 pelancong China yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum dekat sini, masih diteruskan.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Rahim Ramli, berkata sehingga jam 10.40 pagi tadi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh agensi berkaitan.

Sehubungan itu, beliau menafikan laporan media sosial kononnya katamaran berkenaan sudah ditemui.

Selain kapal dan bot milik APMM, Rahim berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) dikerah untuk menjalankan operasi SAR, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut membantu usaha mengesan bot berkenaan.

“TUDM menggerakkan pesawat C130 untuk membantu operasi SAR pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bot berkenaan dilaporkan bertolak dari jeti Tanjung Aru di sini, untuk ke Pulau Mengalum, kira-kira sejam setengah perjalanan dari sini pada jam 9 pagi semalam, namun tidak tiba semula ke jeti sama sehingga malam tadi.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh pemilik bot pada jam 9.50 malam tadi.

Terdahulu, ada laporan menerusi media sosial mendakwa kapal berkenaan mengalami kerosakan dan sudah ditemui semalam.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.