Kiriman pada: Thu, Dec 8th, 2016

Usahawan IKS Wanita Perlu Kental Hadapi Cabaran

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mahu usahawan industri kecil sederhana (IKS) wanita, tidak gentar dalam menghadapi realiti dan cabaran dunia keusahawanan.

Katanya, ramai ikon dunia perniagaan bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

“Janganlah berhenti setakat tahap perniagaan mikro sahaja, tetapi lebarkanlah sayap perniagaan ke peringkat nasional dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang dan beramah mesra bersama peserta Projek 1,001 Kemahiran Usahawan Wanita Malaysia (Kesuma) Yayasan Wanita Malaysia (YWM) di sini, hari ini.

Projek julung kali itu bertujuan menggalakkan wanita terutama dalam kalangan belia dan ibu tunggal untuk menjadi usahawan yang berjaya dan mampu memajukan diri.

Ia diadakan secara latihan teori dan praktikal dalam kemahiran menggunting rambut kepada 1,001 peserta wanita yang terpilih dari 222 kawasan Parlimen seluruh negara.

Rosmah yang juga penaung YWM berkata beliau amat gembira dengan inisiatif yang dibangunkan YWM untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita dalam sektor perniagaan mikro.

Beliau turut mencadangkan supaya yayasan itu mengadakan kursus-kursus asas perniagaan seperti pengurusan kewangan dan akaun, penggunaan sistem ICT, strategi pemasaran dan lain-lain aspek perniagaan yang relevan.

“Sekadar memberi contoh, lihatlah ikon-ikon dunia perniagaan yang berjaya di persada dunia seperti Bill Gates, Mark Zuckerberg dan Jack Ma. Ketiga-tiga ikon ini mempunyai satu persamaan iaitu mereka bermula secara kecil-kecilan.

“Jadikanlah ikon-ikon ini sebagai pencetus semangat dan inspirasi untuk terus berusaha mengembangkan perniagaan ke suatu tahap yang lebih baik,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi YWM Datuk Faridah Abu Hassan, Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Prof Emeritus Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin, Pengerusi Yayasan Suara Wanita Tan Sri Zaleha Ismail dan isteri Menteri Kewangan Kedua Datin Zurwati Haslinda Zainal Bahry.

Didaftarkan pada 25 Nov 2010, YWM bertujuan memperkasakan wanita melalui pendidikan dan kebajikan selain menuju kesejahteraan sosial dan ekonomi berdasarkan gagasan 1Malaysia.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.