Kiriman pada: Sun, Jan 22nd, 2017

“Utamakan Rakyat”: Keutamaan Trump

Kongsi maklumat ini
Tags

Washington – Bilionair terkemuka, Donald Trump yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 semalam mengumumkan beberapa langkah drastik yang mengejutkan dalam usahanya membina ‘jenama’ sendiri di mata dunia.

Berpaksikan kepada slogan America First (Utamakan Amerika), beberapa aspirasi Barack Obama turut menjadi ‘mangsa’ antaranya Obamacare iaitu program penjagaan kesihatan yang diperkenalkan pada tahun 2010.

Antara kejutan Trump yang terkenal dengan ayat You are fired menerusi rancangan realiti The Apprentice, beliau bertindak memecat semua duta AS lantikan Barack Obama di seluruh dunia tanpa menyenaraikan calon bagi menggantikan kekosongan tersebut.

Lapor The Independent, sekurang-kurangnya 80 duta AS bagi negara dunia dan pelbagai agensi serta duta yang dilantik untuk isu-isu khusus seperti wanita, dipecat daripada jawatan masing-masing.

Tindakan itu kini menyaksikan kebanyakan negara di dunia tidak mempunyai duta yang disahkan oleh Dewan Senat AS dalam beberapa bulan akan datang sekali gus memutuskan hubungan langsung dengan Presiden AS terma­suk di negara-negara yang mempunyai hubungan sensitif.

Negara-negara yang tidak mempunyai duta termasuk Jerman, UK dan Kanada dan juga sekutu penting selain China, India, Jepun dan Arab Saudi.

Setakat ini, hanya beberapa pelantikan yang dilakukan Trump seperti pelantikan Gabenor South Carolina Nikki Hayley sebagai duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengantikan Samantha Power, Peguam David Friedman sebagai duta ke Israel dan Gabenor Iowa, Terry Branstad ke China.

Sementara itu, Trump pada hari pertama pentadbirannya tidak menunggu lama melaksanakan janji semasa kempen pilihan raya beliau apabila menandatangani perintah eksekutif dengan me­ngarahkan agensi-agensi kerajaan supaya membekukan peraturan selain mengambil langkah melemahkan Obamacare.

Sejurus memasuki Pejabat Oval, Trump menandatangani satu perintah berhubung Akta Penjaga­an Mampu Bayar de­ngan menggesa jabatan-jabatan kerajaan supaya mengetepikan, menangguhkan, mengecualikan atau menangguhkan pelaksanaan peruntukan yang mendatangkan beban kewangan ke atas negeri, syarikat atau individu termasuk mengenakan penalti kepada yang tidak mempunyai insurans.

Beliau juga meminta supaya lebih usaha dilaksanakan untuk memberikan kelonggaran kepada negeri-negeri di negara ini untuk melaksanakan program penjagaan kesihatan.

Tidak cukup dengan rancangan untuk memansuhkan Obama­care, Trump turut komited untuk menghapuskan Pelan Tindakan Iklim dan pelbagai inisiatif alam sekitar lain yang digubal semasa pentadbiran Obama.

Menerusi kemaskini laman sesawang White House, Trump komited untuk menghapuskan dasar tidak perlu dan berbahaya Obama seperti Pelan Tindakan Iklim dan peraturan Air AS.

“Penarikan balik sekatan ini, akan banyak membantu pekerja Amerika, menaikkan gaji kepada lebih AS$30 bilion (RM133 bilion) dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Langkah drastik Trump itu dilihat selaras dengan ucapan pertama beliau yang menetapkan setiap keputusan negara itu hanya akan berpandukan wawasan yang meletakkan ‘hanya Amerika di­utamakan’.

“Mulai hari ini dan seterusnya, visi baharu akan mentadbir negara kita. Mulai hari ini dan sete­rusnya, hanya Amerika menjadi keutamaan. Bersama kita jadikan Amerika kembali kuat, kaya, bangga, selamat dan bersama kita akan jadikan Amerika hebat semula.

“Kita tetapkan dua peraturan mudah. Beli produk buatan Amerika dan lantik rakyat Amerika bekerja. Setiap keputusan tentang perdagangan, cukai, imigresen dalam hal ehwal luar akan dibuat bagi melindungi pekerja dan rakyat Amerika,” tegas Trump dalam ucapan sepanjang 1,453 patah perkataan yang merupakan ucapan terpendek sejak Jimmy Carter pada tahun 1977.

Pada masa sama, Trump mele­takkan perang terhadap pengganas sebagai dasar luar utama beliau dan berjanji untuk bekerjasama dengan negara sekutu AS bagi memusnahkan ancaman militan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.