Kiriman pada: Thu, Feb 18th, 2016

UTM Hasilkan Produk Cegah, Rawat Denggi

Kongsi maklumat ini
Tags

JB01_180216_ANTI D'NGueJohor Bahru – Hasil penyelidikan empat tahun, tujuh penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, akhirnya berjaya membangunkan produk kesihatan berasaskan formulasi minyak kelapa dara dan tiga tumbuhan herba bagi mencegah dan merawat penyakit bawaan denggi.

Ketua Penyelidiknya Dr. Harisun Yaakob berkata, produk yang dikenali sebagai Anti-D’NGue turut dipercayai mampu merawat virus Zika, setelah mengambil kira faktor vektor pembawa dalam kedua-dua kes adalah sama iaitu nyamuk Aedes.

“Kita telah menjalankan testologi dan ujian keberkesanan pada tahap dos yang sesuai terhadap haiwan makmal serta kira-kira 15 pesakit yang diserang denggi dan didapati mampu menghalang replikasi (penggandaan) virus denggi dengan menampakkan peningkatan platelet,” katanya.

Dr. Harisun berkata, disebabkan formulasinya yang selamat, produk berupa kapsul itu sesuai digunakan pelbagai golongan peringkat umur termasuk ibu mengandung sebagai suplemen kesihatan.

“Ketika ini, ia belum ada lagi dalam pasaran, namun saya bersedia berkongsi teknologi dan formulasi sekiranya terdapat industri yang berminat untuk mengkomersialkannya,” katanya.

Pihaknya merancang untuk melakukan pengeluaran pertama pada bulan depan membabitkan sebanyak 500 botol bagi membantu pesakit yang menderita akibat jangkitan denggi.

Pada masa ini, ia dianggarkan berharga antara RM60 dan RM80 bagi 30 biji kapsul.

Bagaimanapun, harga itu boleh berubah berdasarkan kepada kesukaran mendapatkan bahan mentah serta jumlah pengeluaran yang bakal dikeluarkan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.