Kiriman pada: Tue, Jul 21st, 2015

Veteran BN khuatir Dengan Muslihat Jatuhkan PM

Kongsi maklumat ini
Tags

xvhzdKUALA LUMPUR – Pendedahan Xavier Andre Justo mengenai pertemuannya dengan pemimpin pembangkang Malaysia dan wakil media asing menunjukkan wujudnya perancangan rapi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pendedahan Justo itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia juga satu perbuatan sabotaj terhadap kepimpinan Melayu.

“Najib dijadikan sasaran mereka dengan menggunakan isu 1Malaysia Development

Berhad (1MDB). Apabila beliau (Najib) dapat dijatuhkan, maka Umno turut lumpuh dan kuasa Melayu akan berakhir di negara ini,” katanya.

Baru-baru ini laporan menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan

kerajaan Malaysia.

Justo, 49, warga Switzerland, ditahan Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD) polis Thailand di Koh Samui pada 22 Jun lepas setelah PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiataan peras ugut oleh lelaki warga Switzerland itu.

Jika benar dakwaan Justo itu, veteran Umno mendesak polis dan kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat melalui undang-undang serta akta berkaitan bagi mendakwa pengkhianat negara itu.

Sementara itu, veteran MCA Datuk Yap Pian Hon berkata, mana-mana pihak tidak harus membuat kesimpulan melulu terhadap isu 1MDB kerana siasatan masih dijalankan.

“Sama ada ia merupakan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan BN ataupun tidak, itu terpulang kepada pasukan siasatan,” katanya menyuarakan rasa khuatir beliau dengan pendedahan itu.

Yap tidak menafikan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menyebarkan khabar angin mengenai 1MDB semasa siasatan dijalankan.
“Khabar angin yang kita nampak ia seolah-olah mahu menggulingkan kerajaan, namun (kita) tidak boleh terpedaya dengan helah mereka… itu merupakan satu perangkap,” katanya.

Bekas presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn menyifatkan tindakan The Sarawak Report yang melaporkan isu 1MDB secara berat sebelah mempunyai ‘udang di sebalik batu’ iaitu mahu menjatuhkan kerajaan BN.

“SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) bertindak bijak dengan menyekat laman web mereka namun nampaknya mereka masih tidak mengalah dengan tindakan itu dan kerajaan sepatutnya mengenakan tindakan lebih tegas terhadap mereka,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.