Kiriman pada: Wed, Dec 9th, 2015

Wajib Taat Setia Selagi Dia Tidak Fasik

Kongsi maklumat ini
Tags

khchKUALA LUMPUR – Setiap ahli parti perlu mentaati dan sentiasa setia bersama dengan pemimpin selagi pemimpin itu tidak fasik.

Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia merupakan salah satu asas penting dalam agama dan politik dalam Islam.

“Ahli Sunnah wal jamaah menegaskan kepentingan untuk sentiasa setia dengan pemimpin yang ada selagi pemerintah tidak melakukan kefasikan secara terbuka,” katanya menerusi ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera, di sini, hari ini.

Kata Mas Ermieyati yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, tindakan menjatuhkan pemimpin boleh membuka pintu fitnah yang lebih besar.

Beliau turut mengambil kira pergolakan yang berlaku di Timur Tengah sebagai contoh.

“Akibat perkiraan yang salah dan melampau, keadaan di Iraq dan Afghanistan lebih teruk daripada sebelumnya. Pemerintah yang zalim telah berjaya dijatuhkan. Namun, keadaan ekonomi dan politik negara-negara terbabit bertambah mundur dan teruk.

“Lihat juga kepada apa yang berlaku di Syria. Daripada sebuah negara yang aman dan makmur, akibat mahu menjatuhkan pemimpin mereka, fitnah yang lebih besar berlaku di Syria. Hari ini, Syria menjadi padang jarak dan padang tekukur. Kuasa asing masuk ke Syria dengan alasan untuk mengembalikan keamanan di sana. Namun, mereka mempunyai agenda yang ternyata merugikan rakyat Syria,” katanya lagi.

Mengulas perkara sama, Mas Ermieyati berkata, sebagai golongan yang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang besar, Umno harus bersedia untuk melakukan teguran demi kewujudan sebuah organisasi dan negara yang benar-benar berfungsi dan mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Kesetiaan tersebut bukanlah pula bermakna kesetiaan membuta tuli.

“Hanya dengan kesetiaan kepada pemimpin dan sentiasa memikirkan kebaikan yang lebih besar, kewujudan sebuah organisasi seperti Umno atau kerajaan akan terus berlangsung,” tegasnya lagi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.