Kiriman pada: Sun, Feb 12th, 2017

Wanita Sambut Baik Syor 30 Peratus Calon

Kongsi maklumat ini
Tags

Lundu – Kemampuan wanita di peringkat pembuat keputusan kini semakin diyakini, kata Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi 30 peratus kuota kepada wanita sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah bukti jelas wanita semakin dikagumi.

“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang sudah menyuarakan dengan jelas yang beliau akan membisikkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) bagi menambah jumlah wanita sebagai calon.

“Sebenarnya ketika Perdana Menteri menjaga Kementerian Wanita, beliau sudah mempelopori penambahan wanita (dalam peringkat pembuat keputusan) dan ini petanda baik yang menunjukkan akan ada penambahan calon wanita,” katanya kepada media ketika meninjau Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu di sini, semalam.

Pada majlis di Kota Kinabalu, Sabah semalam, Ahmad Zahid mencadangkan 30 peratus calon UMNO PRU-14 diperuntukkan kepada wanita.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau akan berbincang dengan presiden parti berhubung cadangan itu.

Shahrizat berkata, wanita sudah membuktikan kemampuan bukan sahaja sebagai perayu undi pada pilihan raya, malah melaksanakan tanggungjawab sepanjang masa untuk membantu rakyat.

“Ini dapat kita lihat di Tanjong Datu apabila wanita bekerja sepanjang masa tanpa mengira ketika pilihan raya atau tidak.

Sebab itu, Barisan Nasional (BN) di Tanjong Datu ini diyakini rakyat, kerana wanita sentiasa bekerja untuk membantu menyelesaikan masalah,” katanya.

Mengenai PRK Tanjong Datu, Shahrizat berkata, jentera Wanita BN tidak harus memandang rendah keupayaan lawan walaupun calonnya, Puan Sri Jamilah Anu mempunyai kekuatan tersendiri untuk memenangi kawasan itu.

“Walaupun peluang kita amat baik, kita tidak boleh memandang rendah pihak lawan, tidak boleh melakukan kerja sambil lewa. Itu pesan saya kepada jentera Wanita BN di sini,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.