Kiriman pada: Thu, Mar 5th, 2015

Warisan Kampung Baru

Kongsi maklumat ini
Tags

RUMAH ASAL KAMPUNG BARUKAMPUNG Baru terletak di tengah-tengah hutan batu dan konkrit Kuala Lumpur melambangkan kehidupan masyarakat Melayu.

Ia kini satu-satunya perkampungan Melayu yang tinggal selepas pembangunan dan pemodenan mengambil alih ‘melenyapkan’ Kampung Kerinchi dan Kampung Abdullah Hukum.

Menyusuri sejarah, penubuhan kampung berusia 115 tahun dengan keluasan 101 hektar itu dilaporkan bermula dengan satu Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari mengenai The Malay Agricultural Settlement yang membenarkan orang Melayu membuka penempatan seterusnya mengamalkan gaya hidup kampung di situ.

Faktor lain menyebabkan Kampung Baru berhak dilindungi sekali gus dipertahankan adalah di sini bermulanya pergerakan politik Melayu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diilhamkan untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air yang pada ketika itu dalam penjajahan Inggeris.

Tahun demi tahun, kedudukan dan status Kampung Baru terutama rumah kampung yang jumlahnya semakin menyusut.

Semoga kewujudan rumah kampung yang dikepung bangunan moden dapat dipelihara kerana selain mengungkap sisi tradisional Kuala Lumpur, turut menjadi tarikan kepada pelancong asing malah jika dilihat perspektif lebih jauh, meninggalkan warisan untuk tatapan generasi mendatang.
Rumah tradisional ungkap keunikan

Terletak di lokasi dalam lingkungan segi tiga emas menyebabkan nilai tanah di Kampung Baru dilaporkan mencecah hingga RM5.1 bilion.

Sehingga kini, tujuh kampung yang berada di bawah kawasan Kampung Baru iaitu Kampung Periok, Kampung Masjid, Kampung Atas, Kampung Bawah, Kampung Hujong Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah masih selamat dari menjadi korban pembangunan.

Kebanyakan kediaman sudah berwajah moden. Di lokasi strategik tertentu, dibangunkan rumah pangsa dan bangunan komersial seperti Plaza RAH.

Bagaimanapun, itu semua belum berupaya menandingi keunikan dan keaslian seni bina rumah tradisional Melayu yang menjadi identiti Kampung Baru.

Sutiah Ahmad, 86, antara penduduk paling lama di kampung ini berharap dapat terus menetap di rumahnya sehingga hujung usia yang menjadi kebanggaan warisan keluarganya.

Meskipun seni bina asal mengemukakan dinding papan sepenuhnya dengan binaan tiang tinggi itu sudah wujud sebelum kelahirannya pada tahun 1925, beliau yang tinggal bersama anak sulungnya cukup mengagumi seni warisan ayah dan datuk mereka.

“Mengikut cerita orang-orang lama, kawasan ini dulunya hutan dan dusun. Malah, ada yang memberitahu harimau sering berkeliaran di tempat ini.

“Selepas Sultan Selangor ketika itu mengeluarkan titah menyuruh teroka serta bina rumah, sedikit demi sedikit tempat ini penuh orang lalu menjadi kampung,” katanya.

Sutiah turut mengingati banjir besar Kuala Lumpur pada tahun 1970 menyebabkan Kampung Baru ‘lumpuh’ selama dua hari.

“Mujurlah rumah ini mempunyai tiang tinggi. Binatang liar yang dulunya menjadi penghuni hutan sekeliling tidak boleh masuk ke dalam rumah,” katanya.

Rumah Sutiah terletak di Kampung Paya turut digelar ‘rumah hitam’, kerana hanya menggunakan cat minyak hitam hampir keseluruhan rumah.

Tangga batu gaya rumah Melaka berserta anjung di samping tingkap berdaun yang menjadi pengenalan rumah kampung yang diwarisi hampir satu abad.

Hasil pengubahsuaian, bilik tidur yang dulunya hanya dua, kini menjadi empat, ruang dapur terletak di atas dialihkan ke bawah manakala ruang tamu dibesarkan lima kaki lagi.

Di bahagian kanan rumah, dibina tiga pintu lagi untuk disewakan kepada orang.

Mengaku rumahnya itu banyak menggamit nostalgia zaman muda, Sutiah paling sukakan suasana dinihari yang menurutnya lebih nyaman dan sejuk semula jadi.

“Saya suka tidur di atas kerana lebih sejuk, ada ketikanya menggigil kesejukan jika tanpa selimut,” katanya merujuk rumah papan asal yang suatu ketika dulu pernah dijadikan lokasi penggambaran muzik video, Pandang Pandang Jeling Jeling, nyanyian duet Tan Sri Datuk SM Salim dan Datuk Siti Nurhaliza.
Wang bukan segala-galanya

Rumah biru milik Mohd Noor Muhd Amin, 77, mempunyai keunikan tersendiri daripada rumah lain yang terdapat di Kampung Baru pada hari ini

Dengan mengetengahkan rumah tradisi Limas yang asalnya boleh ditemui di Selangor, Johor dan Terengganu, rumahnya dianggap antara paling indah.

Menyingkap kisah rumah ini, Muhd Noor menceritakan bahawa ‘rumah biru’ yang digelar penduduk Kampung Baru asalnya dibina oleh arwah datuk dan ayahnya di atas keluasan tanah 16,000 kaki persegi.

“Datuk yang mahir membuat rumah bertanggungjawab mereka bentuk rumah Limas yang diperbuat dari kayu cengal serta meranti.

“Segi reka bentuk pula beliau mengutamakan aspek pencahayaan, pengudaraan dan keselamatan apabila membinanya dengan mempunyai tiang tinggi untuk mengelakkan daripada kejadian banjir,” katanya sambil menambah terdapat empat hingga lima jenis rumah sama di Kampung Baru ini.

Meskipun begitu, rumah Limas yang dahulunya keseluruhannya diperbuat daripada kayu, kini mengalami perubahan zaman moden tetapi masih mengekalkan elemen tradisionalnya.

Lantai rumah dulunya diperbuat daripada kayu digantikan dengan jubin bagi mengelak dimakan anai-anak setiap kali kejadian banjir yang melanda Kampung Baru.

Hiasan dalamannya pula masih mengekalkan perabot dan meja makan lama milik bapanya yang berusia setengah abad yang diletakkan di ruang tamu bersebelahan dengan meja makan dan bilik tidur utama.

Muhd Noor berkata, rumah biru yang didudukinya ini berusia 100 tahun ini banyak meninggalkan nostalgia kepadanya.

“Ada individu berhasrat membeli rumah warisan ini dengan harga RM5 juta, namun saya menolak. Bukan duit dinilai pada rumah ini, sebaliknya nilai sentimental tidak boleh dibeli dengan duit yang saya pertahankan sehingga hari ini.

“Rumah inilah mercu keluarga saya yang bakal diwarisi oleh anak-anak dan cucu. Mereka waris rumah Limas ini yang perlu memeliharanya sampai bila-bila,” katanya.
Berhak dipertahankan

Mengakui tidak boleh menghalang pembangunan, kerajaan juga seharusnya ada inisiatif untuk mengekalkan dan memulihara sebahagian rumah tradisional di Kampung Baru sebagai warisan budaya bangsa, khususnya orang Melayu.

Profesor Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) merangkap Ketua Satu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, mengekalkan rumah warisan penting terutama yang mempunyai signifikan dengan sejarah silam negara.

“Bukan bermakna saya menolak pembangunan namun sayang jika Kampung Baru yang diakui kampung warisan Melayu itu dilupuskan. Dalam akta turut mengemukakan, rumah berusia 50 tahun ke atas boleh dipertimbangkan sebagai warisan sekali gus berhak dipertahankan,” katanya.

Menurutnya, jangan disebabkan memenuhi keperluan pembangunan ekonomi, segala tinggalan serta warisan lama mudah dilenyapkan.

“Yang lama perlu disimpan supaya generasi depan dapat menyaksikan keindahan kampung Melayu di tengah kota. Warisan bukan sekadar dijaga malah harus dipulihara.

“Saya pohon pihak bertanggungjawab seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan muzium lebih bertegas dalam memelihara warisan Melayu ini supaya tidak ditelan zaman. Malah, sepatutnya sudah ada perancangan membina bangunan dan galeri pameran mengenainya supaya masyarakat Melayu sekarang sedar akan asal-usul mereka,” katanya selain menyifatkan rumah warisan di Kampung Baru bukan sekadar tempat berteduh sebaliknya turut menunjukkan khazanah seni serta maruah bangsa.
INFO

Jenis rumah warisan Melayu

1. Rumah Limas (Selangor, Johor dan Terengganu)

2. Rumah Tiang 12 (Kelantan)

3. Rumah Kedah (Kedah)

4. Rumah Bumbung Panjang (Pulau Pinang dan Perlis)

5. Rumah Melayu (Melaka)

6. Rumah Kutai (Perak dan Selangor)

7. Rumah Minangkabau (Negeri Sembilan)

8. Rumah Serambi (Pahang)

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.