Kiriman pada: Sun, Feb 21st, 2016

‘Wawasan 2020 gagal kerana Tun Mahathir sendiri’

Kongsi maklumat ini
Tags

21466154KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam meramalkan Wawasan 2020 akan gagal dan menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Musa, Dr Mahathir lupa bahawa jika Wawasan 2020 mahu dijayakan beliau perlu melatih pemimpin di semua peringkat terutamanya pemimpin politik.

“Adalah ironik Wawasan 2020 pasti gagal kerana Dr Mahathir sendiri. Sebijak mana pun beliau, Dr Mahathir lupa bahawa untuk berjaya beliau perlu melatih pemimpin dari semua peringkat terutamanya di kalangan pemimpin politik.

Namun, Musa berpendapat rekod kepimpinan Dr Mahathir mempamerkan bekas Perdana Menteri Malaysia tersebut telah menyingkirkan ramai pemimpin berpotensi ketika beliau memegang tampuk pemerintahan negara.

“Dr Mahathir telah menyingkir kelompok pemimpin berpotensi seorang demi seorang dan berkumpulan … dan hanya mengekalkan pengikut yang setia.

“Pengikut ini dilatih untuk berdedikasi dan setia kepada sesiapa yang duduk di bahagian paling atas. Prinsip itu mudah sahaja … mereka hanya perlu setia jika mahu terus ‘hidup’,” kata Musa yang pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 1986.

Musa berkata demikian dalam ucapannya di majlis memperingati ulang tahun ke-113 Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, yang dianjurkan oleh Institut Hal Ehwal Demokrasi Dan Ekonomi (IDEAS) pada Sabtu.

Musa turut menzahirkan kekecewaannya dengan situasi politik dalam negara masa ini.

Musa berkata matlamat Malaysia ke arah Wawasan 2020 yang hanya tinggal empat tahun lagi berada di ambang kegagalan.

Wawasan 2020 diumumkan oleh Dr Mahathir ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam pada tahun 1991 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Jun lalu, Dr Mahathir menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mampu mencapai Wawasan 2020 kerana menumpukan kepada pendapatan per kapita untuk mengukur pembangunan.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam blognya berkata Wawasan 2020 mustahil untuk dicapai kerana Dr Mahathir gagal mengambil kira krisis kewangan apabila mencetuskan idea itu.

Menurut Salleh, kesilapan (Dr Mahathir) dalam menangani perkara itu membuatkan Wawasan 2020 mustahil direalisasikan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.