Kiriman pada: Wed, Jul 8th, 2015

WSJ Bakal Berdepan Saman, Kata Peguam

Kongsi maklumat ini
Tags

1wsjKuala Lumpur – Dow Jones, penerbit The Wall Street Journal yang menerbitkan artikel mendakwa Perdana Menteri menyelewengkan hampir $700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal berdepan tuntutan saman sekiranya tidak menjawab surat pengesahan dalam masa 14 hari.

Peguam Wan Azmir Wan Majid dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika dihubungi berkata bagaimanapun ia (tuntutan saman) tertakluk kepada arahan anak guamnya.

“Buat masa ini perkara yang paling mustahak ialah pengesahan WSJ berkenaan cadangan penyelewengan wang daripada 1MDB seperti terkandung dalam dua artikel mereka, adakah mereka merumuskan ia telah dilakukan oleh anak guam kami,” katanya.

Hari ini Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang bertindak bagi pihak Najib telah menghantar surat kepada Dow Jones meminta pengesahan tentang pendiriannya berkaitan dakwaan dalam artikel-artikel itu yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai dan menuntutnya membalas surat itu dalam masa 14 hari dari hari ini.

Menjelaskan mengenai proses perundangan bagi saman fitnah, Wan Azmir berkata sekiranya WSJ tidak menjawab surat itu dalam masa 14 hari, pihaknya akan menghantar notis tuntutan dan sekiranya akhbar itu gagal menjawabnya dalam masa 14 hari juga, barulah pihaknya akan menfailkan saman.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada arahan anak guam kami, tetapi inilah proses yang diamalkan dan bakal berlaku dalam saman fitnah ,” katanya.

Ditanya di manakah saman itu akan difailkan, sekiranya Najib akan menfailkan saman itu, Wan Azmir berkata ia boleh difailkan di Malaysia atau di Amerika Syarikat, tetapi ia boleh dipilih mengikut kesesuaian.

Beliau berkata saman malu atau fitnah mempunyai tiga intipati penting iaitu ayat itu mesti menfitnah, ayat itu mesti merujuk kepada plaintif dan pernyataan itu mestilah disampaikan kepada pihak ketiga.

Berhubung pelantikan peguamcara oleh WSJ dan pemberita-pemberita yang menulis artikel-artikel itu, Wan Azmir berkata sekiranya WSJ telah melantik peguamcara mereka sama ada di New York atau di Malaysia, ia akan memudahkan peguam yang mewakili Najib untuk berhubung dengan peguam WSJ.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.