Kiriman pada: Mon, Mar 9th, 2015

Yang di-Pertuan Agong Merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-13

Kongsi maklumat ini
Tags

TUANKU ABDUL HALIM MUA'ADZAM SHAHKuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13.

Istiadat pembukaan itu menyaksikan atur cara sambutan majlis perbarisan kawalan kehormat yang secara tradisinya berlangsung di Dataran Parlimen, diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Parlimen.

Ini merupakan kali ketiga istiadat itu diadakan di Dewan Bankuet, dengan kali pertama ialah semasa pembukaan penggal pertama Parlimen ke-13 pada 25 Jun 2013 atas faktor cuaca.

Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Turut menyambut ketibaan Seri Paduka berdua ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri masing-masing Datin Seri Rosmah Mansor dan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian diiring masuk ke Dewan Bankuet untuk menerima sembah ‘Hormat Diraja’ daripada tiga pegawai dan 24 anggota lain-lain pangkat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Azlan Shah Baharom.

Lagu ‘Negaraku’ kemudian dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi dan diikuti tembakan meriam 21 das.

Upacara pemeriksaan kawalan kehormat oleh Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun tidak diadakan seperti kebiasaannya berikutan ruangan dewan yang terhad.

Tepat 11 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan Seri Paduka diiringi ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.